Mayat mangsa bot karam ditemui terapung di perairan Langkawi - Utusan Malaysia

Mayat mangsa bot karam ditemui terapung di perairan Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Mayat salah seorang daripada empat awak-awak warga Thailand yang disyaki
hilang selepas bot nelayan tempatan yang dinaiki mereka karam akibat dilanda ribut pada
5 Mei lalu ditemui terapung di perairan Langkawi hari ini.

Mayat mangsa timbul di permukaan air ketika kerja-kerja menunda bot tersebut ke tempat cetek untuk diapungkan semula dilakukan oleh pemiliknya kira-kira pukul 2 petang tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Langkawi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa dipercayai terperangkap di dalam bot semasa bot berkenaan karam akibat dilanda ribut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, susulan maklumat penemuan mayat itu, pihaknya mengarahkan bot Petir 81 dan kapal KM Sugut ke lokasi mayat dijumpai.

“Mayat kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Rozali, kerja-kerja mengapungkan bot akan diteruskan oleh pemiliknya bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan turut terperangkap di dalam bot berkenaan.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan pada Sabtu lalu selepas operasi tersebut tidak menemui sebarang petunjuk setelah empat hari operasi dilakukan.

Kosmo! Online pada 8 Mei lalu melaporkan empat awak-awak warga Thailand disyaki hilang selepas bot dinaiki mereka dilanda ribut di kedudukan 17.2 batu nautika barat Pulau Rebak di sini 5 Mei lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×