KOTA BHARU 14 Mei – Pengarah Kluster Brain Behaviour Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah baru-baru ini mewakili negara ke program Global Brain Consortium Plenary Workshop di Montreal, Kanada selama dua hari.
Beliau merupakan antara 54 pakar pelbagai penyelidikan berkaitan otak dari seluruh dunia yang dijemput menyertai program anjuran Montreal Consortium For Brain Imaging Research (MCBIR) yang berpangkalan di Montreal.
Pengarah MCBIR, Profesor Alan C. Evans berkata, sepanjang bengkel kali ini berlangsung pakar-pakar otak dari seluruh dunia berkumpul bagi berbincang secara serius berkaitan penyelidikan terkini dengan tema ‘Towards Global Precision Brain Health’.
“Mereka membincangkan secara berkumpulan tentang pelbagai kaedah saintifik dan pendekatan berkaitan teknikal, logistik, etika dan sosio politik dalam penyelidikan sains otak,” katanya dalam satu kenyataan menerusi PPSP USM, di sini hari ini.
Kenyataan itu juga memberitahu, pihak MCBIR yang dilantik untuk memulakan penerokaan yang membolehkan kajian otak semasa sedar, tidur dan ketika pesakit dibius sentiasa memerlukan input-input terkini daripada pakar dari seluruh dunia bagi menjayakan kajian itu.
“Penglibatan semua pihak dalam bidang ini mampu memastikan kajian mengenai otak terus berkembang, sekali gus memberi kemajuan terhadap rawatan berkaitan otak pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











