KUALA LUMPUR 14 Mei – Musolla Al-Kauthar di Kompleks PKNS, Shah Alam Selangor menerima sentuhan baharu melalui kerja-kerja pengubahsuaian yang dilaksanakan oleh PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC).
PREC dalam kenyataan di sini hari ini berkata, selain surau, kerja-kerja pengubahsuaian turut melibatkan reka bentuk luar bangunan, tandas, pendingin hawa dan medan selera di tingkat empat yang bakal beroperasi selepas Aidilfitri bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Katanya, penambahbaikan surau yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd. Azizi Mohd Zain semalam itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang ke Kompleks PKNS Shah Alam.
“Lebih menarik lagi, kami membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, taman permainan dan memanjat tembok di tingkat empat bangunan ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, Musolla Al-Kauthar yang berkonsepkan industrial itu menyediakan kemudahan lebih praktikal, selesa, cantik dan kemas dengan ruang wuduk yang mesra orang kurang upaya dan warga emas. – UTUSAN ONLINE











