PUTRAJAYA – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengadakan pemeriksaan Ops Patuh di 15 buah premis restoran di dalam pusat beli-belah Alamanda di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd. Asri Abd. Wahab berkata, operasi julung kali di pusat beli-belah itu dijalankan selama lima jam dengan melibatkan seramai 20 orang pegawai pemeriksa dari JTKSM dan Pejabat Tenaga Kerja, Bangi.
Jelasnya, pemeriksaan itu dijalankan untuk mengesan aktiviti pelanggaran undang-undang perburuhan oleh majikan dan memastikan pekerja mendapat hak serta perlindungan mengikut perundangan.
“Kita telah mengenal pasti sembilan jenis kesalahan yang dilakukan di premis berkenaan iaitu tidak mempunyai daftar pekerja, kontrak perkhidmatan tidak lengkap, tiada penyata gaji, menyalah guna permit kerja dan potongan gaji tidak sah.
Selain itu, majikan yang mengendalikan restoran itu juga tidak melaporkan penggajian pekerja asing, membayar gaji secara tunai, gagal mematuhi perintah gaji minimum iaitu RM1,100 dan tiada permit pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Mohd. Asri, kesalahan paling banyak dilakukan oleh majikan restoran ialah tidak mengambil kira bayaran insentif sebagai upah bagi kerja lebih masa.
Jelasnya, hampir kesemua daripada 15 restoran di pusat beli-belah itu tidak membayar elaun dan bayaran lain sebagai asas pengiraan bagi menentukan kadar bayaran kerja lebih masa.
“Dalam operasi itu, sebanyak 15 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan kepada majikan atas kegagalan mengemukakan dokumen lengkap semasa pemeriksaan dijalankan.
“JTKSM ingin menegaskan bahawa majikan perlu mengutamakan upah dan hak pekerja yang perlu dibayar mengikut undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, sebanyak 137 kes telah didakwa di mahkamah dan 161 kes diberikan tawaran kompaun sejak Januari hingga April tahun ini.
Jelasnya, kesalahan yang dilakukan antaranya majikan melakukan potongan gaji tanpa kebenaran, membayar gaji lewat, tidak mematuhi gaji minimum, tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja dan tidak membayar gaji kerja lebih masa. – K! ONLINE











