KUALA LUMPUR 14 Mei – Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (PSBM) boleh menarik nafas lega apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberitahu pihaknya menyediakan tabung amanah (trust fund) kepada persatuan sukan yang memerlukan dana bagi persiapan ke Sukan SEA 2019.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menyediakan peruntukan tabung amanah amanah sehingga RM30,000 bagi persatuan yang memerlukannya untuk mengharungi temasya dwi tahunan itu yang akan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.
“Jika persatuan memenuhi kriteria yang ditetapkan MOM, kita ada peruntukan sehingga RM30,000.
“Kita ada peruntukan yang cukup dan kita akan mengadakan mesyuarat pada 17 Mei ini untuk membincangkan mengenai trust fund,” kata selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata demikian bagi mengulas berhubung kedudukan PSBM yang memerlukan dana bagi persediaan ke Sukan SEA Filipina.
Malaysia sah kehilangan 70 pingat emas, iaitu separuh daripada pungutan ketika muncul juara Sukan SEA 2017 gara-gara beberapa sukan dan acaranya yang sebelum ini menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan dalam temasya dwi tahunan itu.











