KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang disyaki melarikan diri menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bercermin gelap ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu di sini pada 8 Mei lalu telah ditahan polis.
Kedua-dua suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara pada 9 Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kedua-dua suspek melarikan diri daripada pemeriksaan.
“Suspek pertama berusia 35 tahun ditahan di Jalan Imbi di sini pada pukul 2.40 petang Khamis lalu.
“Manakala suspek kedua seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan di Cheras pada pukul 3.40 petang hari yang sama dan hasil semakan mendapati suspek pertama memiliki tiga rekod jenayah dan suspek kedua pula memiliki sembilan rekod,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kedua-dua suspek itu direman selama seminggu hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kenderaan berkenaan dikesan berhenti dengan enjin masih hidup di tepi jalan berhampiran sebuah hotel, ketika menjalankan sekatan jalan raya di lokasi.
Ketika polis menghampiri MPV terbabit untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya memecut laju dan hampir melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran sebelum anggota polis mengejar kenderaan itu lalu kenderaan suspek melanggar sebuah kereta menyebabkan MPV itu berhenti.
Suspek yang berada di dalam kereta diarahkan keluar, namun kenderaan itu sekali lagi memecut hingga memaksa polis melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit. – K! ONLINE











