Kartel dedak: Zaharuddin dicabar kemuka bukti - Utusan Malaysia

Kartel dedak: Zaharuddin dicabar kemuka bukti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Mei – Zaharuddin Muhammad yang merupakan menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) turut terbabit dalam isu `kartel dedak’.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Zaharuddin perlu jujur dan tampil dengan bukti kukuh, bukannya cuba mengheret Amanah ke dalam kemelut yang melanda parti Pas ketika ini.

Beliau seterusnya pelik dengan tindakan ahli Pas berkenaan yang mencetuskan kontroversi mengenai isu berkenaan sehingga menimbulkan kekeliruan kalangan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, ia termasuklah tindakan Zaharuddin yang turut mengaitkan bapa mertuanya sendiri selaku Presiden Pas dalam isu terbabit.

“Pada saya, amat anih dan pelik dengan pendedahannya (Zaharuddin) mengenai `kartel dedak’ tempoh hari setelah mendapat restu bapa mertuanya (Abdul Hadi), dalam hal ini kredibilitinya (Zaharuddin) dipersoalkan.

“Ini kerana, Abdul Hadi dalam maklum balasnya selepas itu telah menafikan kenyataan Zaharuddin malah Abdul Hadi menegaskan yang beliau tidak restu. Keliru, mana yang betul,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Raja Kamarul Bahrin seterusnya berharap supaya Zaharuddin menghormati kesucian bulan Ramadan dan sentiasa berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Pada bulan yang mulia ini (Ramadan) kita mesti cermat jaga lidah dan mulut kita dan Zaharuddin mesti mempunyai sebab dan maklumat kukuh untuk buat kenyataan.

“Saya juga pelik kenapa dia kaitkan Amanah dalam isu ini. Kalau ada bukti kukuh (Amanah terlibat), tunjukkan bukti itu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pendedahan itu dibuat ekoran masalah dalaman yang dihadapi Pas sekarang bagi menyingkirkan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Zaharuddin, pada 10 Mei lalu, mendedahkan wujud ‘kartel dedak’, dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam Pas yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Poster `kartel dedak’ yang memaparkan lima pemimpin Pas itu tersebar dan mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Pemuda Pas yang juga anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Tiga lagi adalah Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan; Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Ghazali.

Bagaimanapun semalam, Zaharuddin menafikan penglibatan Menteri Besar Terengganu itu dan juga iparnya sendiri, Muhammad Khalil manakala tiga yang lain kekal sebagaimana didakwa. – UTUSAN ONLINE

–

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini