PUTRAJAYA 14 Mei – Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkordinasi usaha agar Malaysia terus cemerlang dalam laporan Corporate Governance Watch (CGW).
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dengan dianggotai oleh agensi yang berkaitan.
Beliau berkata, pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kelapan hari ini, kerajaan telah dimaklumkan berita baik di mana kedudukan Malaysia dalam laporan CGW telah meningkat dengan ketara daripada tangga ketujuh pada 2016 ke tangga keempat tahun lalu.
“Berdasarkan laporan CGW tersebut, faktor utama peningkatan ini adalah disebabkan oleh iltizam dan kesungguhan kerajaan terhadap usaha pencegahan rasuah yang menyeluruh telah mula dilaksanakan terutama dalam aspek governans, tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna selaras dengan matlamat kerajaan yang diterjemahkan di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Ke-8 di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam dan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Zeti Akhtar akan mengkaji penubuhan pasukan petugas khas tersebut berdasarkan kepada tadbir urus korporat.
“Beliau juga akan melantik anggota ke dalam pasukan khas tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











