PULAU PINANG 14 Mei – Mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan dari sebuah kolej swasta di sini, ramai menyangka dia akan memilih pekerjaan di dalam pejabat berhawa dingin.
Namun, Khairul Nirman Jamaludin mempunyai perancangan yang lebih jauh dan lebih besar iaitu meneruskan serta mengembangkan perniagaan daging kambing yang diwarisi daripada datuknya.
Malah, anak kelahiran Jelutong, Georgetown berusia 24 tahun ini juga langsung tidak kekok atau berasa malu bergelumang dengan bau hanyir daging di lot kedai yang diuruskannya sendiri di Pasar Batu Lanchang di sini.
Atas kesungguhan itu juga, ketika kebanyakan anak muda seusianya yang lain masih tercari-cari pekerjaaan, Kharul Nirman bagaimanapun sudah mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil menjual daging kambing.
Menurut Khairul Nirman, dia memilih untuk mewarisi perniagaan menjual daging kambing yang telah diusahakan datuknya sejak 30 tahun lalu selepas datuknya itu meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.
Kata anak sulung daripada dua beradik itu, keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu perniagaan tersebut berkubur selain dia sendiri sejak berusia 15 tahun sudah membantu datuknya berniaga daging kambing di lot kedai berkenaan.
“Pada usia 18 tahun, saya mula serius membantu menguruskan perniagaan ini sebelum menyambung pengajian dalam bidang perniagaan kerana mahu memenuhi impian ibu dan bapa yang mahu melihat saya menggenggam seguling ijazah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Khairul Nirman, keputusannya menyambung pengajian itu ternyata pilihan tepat apabila dia kini lebih berani dan yakin untuk menguruskan sendiri perniagaan daging kambing tersebut sepenuhnya.
Katanya, ia termasuk dalam urusan mendapatkan stok daging kambing daripada sekurang-kurangnya 10 pembekal di sekitar Seberang Perai dan Kulim, Kedah pada harga berpatutan.
Malah, dia juga mula menyusun perancangan untuk mengembangkan perniagaannya itu dengan mengeluarkan produk sejuk beku berasaskan daging kambing yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi.
Selain itu, tambahnya, dia juga memasang impian untuk memiliki ladang penternakan kambing sendiri malah sudah berbincang dengan pengimport baka kambing jenis Boer di Indonesia untuk dibawa masuk ke negara ini.
“Bagaimanapun, perancangan ini memerlukan modal besar dan saya berharap ada mana-mana agensi kerajaan dapat menghulurkan bantuan untuk saya mengembangkan perniagaan.
“Sebelum ini, saya ada memohon dana untuk usahawan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), namun tidak berjaya tetapi saya tetap berharap peluang itu masih ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











