JOHOR BAHRU 14 Mei – Program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) mendapat roh dan semangat baharu apabila Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal turut serta dalam aktiviti tahunan itu di semua empat lokasi pada awal pagi ini.
Ini merupakan penyertaan pertama seorang Menteri Besar untuk program yang sudah memasuki kali ketujuh itu sekali gus memberikan sentuhan dan nafas lebih segar terhadap pengisiannya sejak dianjurkan bermula pada 2013.
Lebih manis Program Singgah Sahur KMJ 2019 turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.
Bagi program kali ini, Menteri Besar mengetuai konvoi 20 kereta disertai lebih 50 pengamal media di negeri ini bermula pukul 12.40 tengah malam tadi sebelum singgah ke empat lokasi bagi mengagihkan set makanan dan minuman.

Empat lokasi terbabit adalah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Hospital Pakar KPJ Puteri di Larkin selain Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri di Bandar Baru Uda di sini.
Menteri Besar dan ahli KMJ meluangkan masa kira-kira setengah jam di semua tempat persinggahan dan sepanjang program itu yang berlangsung kira-kira empat jam, Dr. Sahruddin beramah mesra dengan petugas serta orang awam beramah mesra termasuk pesakit di dua hospital berkenaan.
Kesempatan tersebut turut diambil petugas keselamatan dan perubatan termasuk orang awam untuk berswafoto dengan Menteri Besar.
Menurut Dr. Sahruddin, program itu amat bagus dan simbolik sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang bertugas 24 jam dalam Ramadan.
“Amalan dan tradisi ini wajar dicontohi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengadakan aktiviti yang sama dan digalakkan semua tanpa mengira masyarakat turut serta dalam program seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program berkenaan pada kali ini amat bersejarah kerana pertama kali disertai Menteri Besar sekali gus memberi kejutan dan kelainan daripada enam penganjuran sebelum ini.

“Ini merupakan program kemasyarakatan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai tanda terima kasih kepada pegawai kerajaan. Pada masa sama dapat menjalin ukuwah dan hubungan baik dengan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











