Dua lelaki ditahan bersama senjata api - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan bersama senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 14 Mei – Dua lelaki yang membawa senjata api dipercayai untuk melakukan kegiatan pemburuan haram ditahan Renjer Jabatan Perhilitan di kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, lelaki berusia 51 tahun dan 64 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang semasa menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero di kawasan jalan balak dalam hutan berkenaan.

Kata beliau, tiga lagi lelaki yang turut menaiki Pajero itu melarikan diri ke dalam hutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai lima laras senjata api, 70 butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Othman berkata, siasatan awal mendapati selaras senapang jenis ‘shotgun’ yang dirampas berkenaan adalah milik abang kepada salah seorang lelaki yang ditangkap.

Jelasnya, pemilik senjata api shotgun berkenaan yang berusia 56 tahun berasal dari Kuantan di sini telah turut ditangkap.

“Semakan mendapati lesen senjata api berkenaan masih sah sehingga bulan Jun 2019, empat laras senjata api lain yang turut dirampas didapati adalah buatan sendiri.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua saspek menggunakan senjata api berkenaan bagi tujuan memburu secara haram dan kedua-duanya direman empat hari sehingga 18 Mei ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha untuk mengesan tiga saspek yang masih bebas masih dijalankan.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 (kesalahan memiliki senjata dan amunisi tanpa lesen/permit) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 33 Akta Senjata 1960 (kesalahan memiliki senjata dan amunisi bagi maksud yang menyalahi undang-undang) yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya dan dikenakan sebatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini