KUALA LUMPUR 14 Mei – DRB-Hicom Bhd., mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas anak syarikatnya, Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech).
Menerusi satu kenyataan di sini, syarikat itu turut memberitahu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan perkara itu.
“DRB-Hicom ingin mengesahkan laporan media, pada masa sama ingin menekankan bahawa DRB-Hicom dan Deftech akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam hal ini,” kata kenyataan tersebut.
Deftech merupakan syarikat 100 peratus milik DRB-Hicom yang menjalankan aktiviti membuat, memasang dan membekal antaranya kenderaan tentera dan komersial.
Semalam, sumber SPRM memberitahu, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bergelar Datuk bersama Ketua Pegawai Kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta direman bagi membantu siasatan SPRM.
Kedua-dua mereka disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan sekitar 2014 hingga 2017.- UTUSAN ONLINE











