Masa musuh Chong Wei - Utusan Malaysia

Masa musuh Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Datuk Lee Chong Wei perlu kembali menyertai pertandingan selewat-lewatnya pada Ogos ini jika mahu memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kegagalan kembali ke gelanggang kompetitif dalam tempoh kurang tiga bulan dari sekarang akan menutup peluang pemenang tiga pingat perak Olimpik itu untuk membuat penampilan kelimanya pada temasya sukan terbesar dunia.

“Saya dimaklumkan oleh BAM kalau mulai Ogos ini dia tidak dapat kembali beraksi pada kejohanan-kejohanan antarabangsa, peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo akan tertutup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Begitupun, setakat ini kita masih berharap Chong Wei dapat beraksi semula, malah lebih awal daripada itu.

“Kita juga kekal dengan matlamat dan sasaran asal untuk dia layak,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Badminton MSN-BAM di Bukit Jalil hari ini.

Chong Wei, 36, sudah beberapa kali menangguhkan kemunculan semula dalam kejohanan kompetitif setiap kali merujuk kepada nasihat doktor yang merawatnya di Taiwan sehinggakan ada khabar angin bertiup kencang bahawa dia akan bersara.

Bagaimanapun kata Shapawi, Chong Wei tidak boleh selamanya bertangguh kerana Sukan Olimpik sudah semakin dekat dan dia perlu memungut mata secepat mungkin dengan kembali menyertai pertandingan untuk memperbaiki ranking.

Semalam, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui, beliau tidak dapat menjawab persoalan bilakah Chong Wei akan kembali beraksi kerana keputusan turut bergantung kepada faktor kesihatan serta perubatan pemain itu.

Masa dilihat semakin mencemburui Chong Wei kerana dia belum menyertai sebarang kejohanan kompetitif sedangkan kempen kelayakan sudah bermula pada 1 Mei lalu.

Bekas pemain No. 1 dunia itu tidak beraksi dalam sebarang pertandingan sejak Terbuka Indonesia, Julai lalu selepas di­sahkan menghidap kanser hidung peringkat awal pada ­September 2018.

Kegagalan menyertai sebarang kejohanan menyebabkan dia kini menghuni ranking ke-113 dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini