KUALA LUMPUR 13 Mei – Pemain baharu Terengganu FC (TFC), Mohamad Nabil Ahmad Latpi menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan bersama skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Bekas pemain kelab amatur Ultimate FC itu yang menyertai TFC pada jendela kedua perpindahan pemain awal bulan ini, berkata beliau bersyukur diberikan peluang oleh ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim selepas diketepikan PDRM pada 2018 akibat masalah prestasi.
“Selepas tidak bersama PDRM, ketika itu memang susah, saya fikir impian saya untuk beraksi dengan pasukan Liga Super tidak akan tercapai. Kemudian saya terus berusaha bermain di Liga M3 bersama Ultimate FC.
“Alhamdulillah, tak sangka rezeki saya sehingga ditawarkan kontrak oleh Terengganu (TFC). Saya tahu, saya tidak boleh berputus asa walaupun hanya bermain di Liga Amatur sebelum ini,” katanya dipetik dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.
Anak jati Pendang, Kedah itu yang mengikat kontrak selama enam bulan dengan TFC, bagaimanapun, sedar laluan mencabar dalam saingan Liga Super selain perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan.
Pada masa sama, Mohamad Nabil yang beraksi di posisi sayap kiri, teruja dapat beraksi bersama beberapa pemain tempatan amat dihormatinya seperti Mohamad Ashari Shamsudin dan Ahmad Syamim Yahya.
Irfan sebelum ini dilaporkan tertarik dengan persembahan dipamerkan Mohamad Nabil walaupun pasukan Ultimate FC tewas 0-5 kepada TFC pada pusingan kedua Piala FA. – BERNAMA











