Sumbang ‘mangkuk siya’ simbolik erat persaudaraan, perpaduan sempena Ramadan - Utusan Malaysia

Sumbang ‘mangkuk siya’ simbolik erat persaudaraan, perpaduan sempena Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Mei – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) meneruskan tradisi meraikan ahli-ahlinya sempena sambutan Ramadan menerusi majlis berbuka puasa di Masjid Kapitan Keling, Georgetown di sini.

Menariknya, majlis itu tahun ini turut menampilkan kelainan apabila lebih 300 ahli DPMPP diberikan mangkuk tingkat atau lebih dikenali sebagai ‘mangkuk siya’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut Yang Dipertua DPMPP, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, pemberian itu sebagai simbolik ke arah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persaudaraan khususnya dalam kalangan ahli-ahli DPMMPP.

Katanya, pemilihan ‘mangkuk siya’ juga bertujuan menghidupkan semula amalan tradisi masyarakat Melayu lama yang semakin terpinggir dan dilupakan masyarakat moden hari ini.

“Penggunaan mangkuk siya dalam kalangan masyarakat Melayu silam diketahui merupakan elemen yang dapat mengeratkan perpaduan dan keharmonian dan kita berharap semangat itu dapat dihidupkan serta diteruskan sepanjang masa.

“Selain itu, pada majlis hari ini juga kita mengadakan program berzanji menerusi sayap Wanita DPMMPP iaitu satu lagi amalan yang semakin jarang dilakukan dalam masyarakat Islam hari ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa DPMPP di sini malam ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman.

Selain ahli-ahli DPMMPP, majlis yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut meraikan seramai 40 kanak-kanak daripada Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Al-Bukhori Pulau Pinang serta penduduk setempat.

Dalam pada itu, Rizal Faris berkata, sempena majlis itu juga, pihaknya turut mengambil keberkatan Ramadan kali ini dengan menghulurkan bantuan dana kepada 10 buah masjid di sekitar negeri ini selain sumbangan kepada golongan asnaf.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut berkongsi kesengsaraan dan keperitan penduduk Palestin khususnya di Gaza dan rakyat Syria menjalani ibadah puasa dengan menghulurkan sumbangan yang disalurkan menerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×