KUALA LUMPUR 13 Mei – Malaysia mempunyai peluang cerah untuk menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Piala Dunia Kumpulan Gimnastik Estetik (AGG) pada 2020, kata Presiden Persatuan Kumpulan Gimnastik Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan.
Beliau berkata ini berdasarkan sokongan kukuh diterima dari beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan malah dari Australia, untuk menganjurkan kejohanan tahunan itu.
Bagaimanapun, Radha optimistik Malaysia akan diberikan hak untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu biarpun dua lagi negara Kazakhstan dan Estonia juga akan membuat bidaan mereka kepada Persekutuan Kumpulan Gimnastik Estetik (IFAGG) Antarabangsa di Catalonia, Sepanyol, minggu ini.
“Dua wakil kami, setiausaha agung Sarah Mohammed Ameen Sarraj dan bendahari Choo Kim Lian akan berlepas ke Catalonia, Sepanyol lewat malam ini untuk membentangkan bidaan kami kepada IFAGG dan keputusan akhir akan diumumkan pada Khamis (Jumaat waktu Malaysia), katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Radha berkata jika Malaysia berjaya dalam bidaan ini, persatuan ini menganggarkan 1,500 peserta dari 25 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini dan Magga telah mengenal pasti Stadium Malawati Shah Alam dan Stadium Titiwangsa, di sini sebagai venue yang berpotensi untuk penganjuran kejohanan.
Sementara itu, Radha berkata persatuan itu akan menganjurkan dua kejohanan sebagai sebahagian daripada persiapan mereka untuk Piala Dunia AGG 2020, iaitu Kejohanan Antarabangsa Total Gym dari 15 hingga 18 Ogos ini di Cyberjaya dan Piala Unity, dijadualkan berlangsung dalam bulan Disember di Ampang, di sini yang terbuka kepada peserta tempatan.
Terdahulu, Radha ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah berupa tunai dan produk Universal Fitness and Leisure (UFL) berjumlah RM5,600 kepada semua 28 atlet dan jurulatih berikutan prestasi baik mereka di Piala Dunia AGG 2019 di Singapura bulan lepas.
Malaysia membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam kejohanan yang disertai 800 peserta dari 20 negara.
AGG adalah disiplin yang berbeza daripada gimnastik berirama kerana ia tidak menggunakan peralatan seperti bola, reben, gelung dan belantan tetapi beraksi di atas permaidani bersaiz 13 x 13 meter. Program pertandingan terdiri daripada gerakan badan yang versatil dan pelbagai seperti ayunan dan pusingan badan, keseimbangan dan putaran, lompatan, langkah tarian dan angkatan. – BERNAMA











