KUALA LUMPUR 13 Mei – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini dengan berpeluang membentangkan hala tuju badan induk bola sepak negara itu yang terkandung dalam F:30.
Kesempatan dalam pertemuan 30 minit itu juga, digunakan Hamidin berkongsi perancangan projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan pasukan kebangsaan di Presint 5, Putrajaya.
Dalam masa sama, beliau turut mengemas kini maklumat kepada Dr Mahathir susulan perjanjian persefahaman (MoU) di antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang ditandatangani 5 April lalu yang turut dihadiri presidennya, Kohzo Tashima serta presiden FIFA, Gianni Infantino.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan, termasuk satu dalam dewan.
“Kami mengharapkan impian ini menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selain itu, saya bagi pihak FAM mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” kata dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kunjungan hormat itu turut diiringi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Ketika ini FAM berada pada peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baharu di Putrajaya.
Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), tidak jauh dari Stadium Merdeka, dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961 sebelum badan induk bola sepak kebangsaan berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM setinggi empat tingkat di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979. – UTUSAN ONLINE











