IPD Ipoh rai 20 anak yatim beli baju raya - Utusan Malaysia

IPD Ipoh rai 20 anak yatim beli baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seramai 20 anak-anak yatim dari Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Gunung Rapat di sini diraikan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Kesemua mereka dibawa ke Gedung Tekstil Jakel Ipoh dan diberi peluang untuk memilih baju raya masing-masing sambil ditemani pegawai dan anggota polis. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, program anjuran Unit Surau IPD Ipoh itu diadakan sempena bulan Ramadan bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami bawa anak-anak ini ke Jakel hari ini agar mereka dapat memilih sendiri baju raya yang diingini. Inisiatif ini diambil bagi memberikan rasa keterujaan untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terasing dan terpinggir. 

“Program pertama IPD Ipoh yang dikendalikan Unit Surau ini diharap dapat dijadikan acara tahunan dalam usaha kita membantu memberi keceriaan kepada golongan tidak bernasib baik ini,” katanya ketika ditemui di gedung berkenaan hari ini.  

Menurut Mohd. Ali, pihaknya juga berterima kasih kepada Jakel Ipoh kerana memberi tawaran harga istimewa bagi pembelian baju raya anak-anak yatim tersebut. 

“Selain membeli baju raya, anak-anak yatim itu akan turut diraikan dalam satu majlis berbuka puasa pada Jumaat ini di Masjid Panglima Kinta di sini dan beberapa sumbangan lain akan turut diberikan kepada mereka. 

“Kita akan cuba menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan sebagai membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini