MUAR 13 Mei – Penyanyi ghazal tersohor negara, S. Fauziah, 72, meninggal dunia pagi tadi ketika menjalani rawatan penyakit jantung dan usus di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Menurut seorang anak saudaranya yang dikenali sebagai Kak Milah, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8 pagi di samping bebepa orang anggota keluarga terdekat.
Katanya, jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri di sini selepas Solat Zohor.
Beliau meninggalkan tiga anak termasuk seorang yang telah meninggal dunia dan tujuh orang cucu.
“Allahyarhamah dikejarkan ke HPSF pada pukul 4 pagi semalam setelah mengadu sakit perut. Doktor beritahu, beliau perlu menjalani pembedahan segera kerana ususnya pecah.
“`Bagaimanapun, Doktor tidak meneruskan pembedahan itu kerana jantung Allahyarham begitu lemah. Beliau kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi sehingga dia meninggal dunia lebih kurang pukul 8 pagi tadi,” ujarnya ketika ditemui.
Alahyarhamah bergiat dalam bidang seni sebagai penyanyi utama dalam beberapa kumpulan ghazal termasuk Ghazal Sri Maharani Muar sejak berusia 20-an.
Beliau juga pernah menghasilkan sebuah album ketika berduet dengan penyanyi Annis Es berjudul Dinda & Kanda, Sidia Datang bersama-sama pemuzik dan penyanyi ghazal Fadzil Ahmad dan beberapa buah album lain sepanjang penglibatannya dalam dunia nyanyian.
Menurut Kak Milah, pada akhir usianya, Allahyarhamah menganggotai kumpulan Hadrah Hidayah yang sering mengadakan persembahan di sekitar negeri ini. – UTUSAN ONLINE











