KUALA LUMPUR 13 Mei – OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) melancarkan kempen Janji Jenama, Menepati Keperluan Anda yang merupakan ikrar bank untuk mendengar pandangan, memahami dan menyediakan penyelesaian paling sesuai bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ong Eng Bin berkata, ikrar itu meliputi segala yang dilakukan oleh bank seperti produk dan proses, saluran dan keupayaan, perkhidmatan pelanggan dan interaksi serta rangkaian tawaran digital yang menjanjikan pelanggan pengalaman pantas, mudah dan lancar.
Menurut beliau, pelanggan hari ini mahu bank memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai berasaskan pengetahuan meluas dan jauh melangkaui satu transaksi.
“OCBC Bank memperkenalkan cogan kata Menepati Keperluan Pelanggan dalam satu ungkapan ringkas dan padat untuk menerangkan janji kepada pelanggannya. Cogan kata ini telah dilancarkan di Singapura pada Oktober tahun lepas dan akan diperkenalkan di pelbagai pasaran.
“Memang mudah dan ringkas jika kita berjanji kepada pelanggan, tetapi ini juga bermakna kita telah menetapkan tahap yang tinggi untuk dipenuhi. Sebab itu setiap warga kerja harus komited untuk memenuhi Janji Jenama setiap hari supaya kami dapat Menepati Keperluan Pelanggan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Eng Bin, cogan kata itu mentakrifkan pendirian OCBC Bank dan bagaimana syarikat berusaha untuk terus menjadi relevan kepada pelanggan.
Pihaknya kata beliau, berharap untuk terus berkhidmat kepada pelanggan dan memenuhi janji bagi menepati keperluan pelanggan dalam segala yang dilakukan.
“OCBC Bank telah berusaha menjiwai cogan kata dalam tawaran digital dengan menerajui beberapa pelancaran tempatan dan serantau yang berguna dan bermakna untuk pelanggan,” ujarnya.
OCBC Bank baru-baru ini telah melancarkan beberapa kemudahan inovatif bagi pelanggan runcit dan perniagaan antaranya memudahkan pengguna untuk log masuk ke dalam aplikasi perbankan mudah alih menggunakan pengenalan wajah dan pengecaman cap jari pada iPhone X.
Selain itu, OCBC Bank turut menjadi penggerak pertama dalam industri dengan melancarkan unit teknologi kewangan (fintech) dan inovasi iaitu The Open Vault untuk menggiatkan lagi usaha pendigitalan bank. – UTUSAN ONLINE











