KUALA LUMPUR 13 Mei – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.
Menurut sumber, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam di Ibu pejabat SPRM Putrajaya manakala wanita berusia 53 tahun itu pula ditahan kira-kira pukul 11.50 malam di lokasi sama ketika memberi keterangan semalam.
“Kedua-dua suspek disyaki telah menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan sekitar 2014 hingga 2017,” katanya.
Jelasnya, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kita turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 serta dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut. “Beberapa saksi juga telah dipanggil hari ini dan kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM. – UTUSAN ONLINE











