ALOR SETAR – “Saya mohon jangan ambil tindakan, saya minta maaf dan berjanji tidak akan buat lagi”
Demikian rayuan seorang peniaga nasi kandar kepada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang membuat operasi kaki ponteng puasa di premisnya di Kuala Sungai di sini hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu dibuat susulan aduan orang ramai tentang operasi kedai makan tersebut yang dikatakan menjual makanan kepada individu tidak berpuasa.
Pemeriksaan menemui sejumlah nasi bungkus berlaukkan ayam goreng yang telah siap dimasukkan ke dalam plastik berwarna hitam di bawah meja di hadapan premis berkenaan.
Peniaga itu mengaku dia menjual nasi bungkus lauk ayam goreng dengan kuah kari bersama teh o ais pada harga RM5 sebelum pukul 3 petang, bagaimanapun tidak mengaku menjualnya kepada kaki ponteng puasa.
Selain premis itu, serbuan turut dilakukan ke atas satu pondok yang dipercayai menjadi tempat kaki ponteng puasa membeli nasi bungkus.
Serbuan menemui sepasang suami isteri di dalam pondok berbumbungkan kain kanvas dengan sejumlah bungkusan nasi di atas sebuah meja.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JHEAIK, Syeikh Azhari Mohamad berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam di enam lokasi sekitar daerah Kota Setar.
“Kita mengambil pendekatan memberi nasihat kepada pihak terlibat supaya menghormati dan berpuasa di bulan Ramadan,” katanya. – K! ONLINE











