KLANG – Seorang murid tahun satu bukan sahaja kempunan memetik buah mangga malah terpaksa menahan sakit hampir 30 minit selepas tersepit celahan cabang dahan pokok itu dalam kejadian di Sekolah Rendah Islam Hira’ Kampung Batu Belah di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 12.20 tengah hari ketika mangsa berusia tujuh tahun dikatakan tergelincir sewaktu memanjat pokok berkenaan.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.29 tengah hari.
“Setiba di lokasi kejadian lima minit kemudiannya didapati lutut kanak-kanak itu tersepit pada pangkal kayu pokok.
“Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan menggunakan peralatan khas dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, operasi kemudiannya ditamatkan pukul 12.50 tengah hari. – K! ONLINE











