IPOH 13 Mei – Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan ditemukan dalam sebuah bakul plastik di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian di sini hari ini.
Mayat bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemukan oleh lelaki yang mahu memungut sampah di kawasan tersebut sebelum memaklumkan mengenai penemuan itu kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazuki Mat berkata, pihaknya ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan setelah menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 1.45 petang.
Katanya, pemeriksaan di dalam bakul plastik bertutup itu kemudiannya mendapati terdapat seorang bayi perempuan yang dibalut dengan kain tuala berwarna biru.
“Bayi perempuan itu didapati telah pun meninggal dunia dan tiada sebarang dokumen dijumpai bersama bayi berkenaan.
“Bayi terbabit dipercayai baharu dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.-UTUSAN ONLINE











