PUTRAJAYA 13 Mei – Lebih 1,700 orang terdiri daripada pelajar dan guru memeriahkan sambutan Hari Bahasa Melayu peringkat Sekolah Moden Arab Antarabangsa (IMAS) di IMAS, Presint 14, di sini baru-baru ini.
Timbalan pengetua sekolah, Dr. Waleed Mualimin berkata, program itu bertujuan mempromosikan Bahasa Melayu sebagai salah satu medium komunikasi di IMAS dan mendedahkan pelajar dengan budaya masyarakat di negara ini.
“Adalah sangat penting untuk kami mempelajari Bahasa Melayu dan budaya masyarakat di Malaysia agar mudah untuk berkomunikasi.
“Ini sekali gus dapat memperkukuhkan ukhuwah dan budaya saling hormat-menghormati antara semua masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pelbagai persembahan menarik diatur sepanjang program antaranya dikir barat, deklamasi sajak, berbalas pantun dan pertunjukan fesyeni.
“Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk merasai keenakan pelbagai makanan tradisional seperti nasi lemak, apam balik dan roti canai,” katanya. – UTUSAN ONLINE











