KLANG – Taktik tiga individu termasuk menggunakan gelaran Datuk palsu mengaut jutaan ringgit menerusi penipuan Pelaburan Jasman atau World Strect Bcom(WSB) sejak tiga tahun lalu berakhir selepas diberkas baru-baru ini.
Penahanan kesemua suspek termasuk dalang utamanya berusia 40 hingga 53 tahun itu dilakukan menerusi tiga serbuan berasingan di Bukit Tinggi Klang, Subang dan Tumpat, Kelantan bermula 5 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sindiket itu telah menipu 2,000 mangsa setakat ini menerusi janji manis pulangan sebanyak RM1billion dengan hanya melabur RM1,000 sahaja.
Katanya, suspek mempengaruhi mangsa dengan mengadakan ceramah selain menunjukkan dokumen, sijil serta cek bagi menyakinkan pelaburnya yang sanggup mengadaikan barang kemas bagi mendapatkan pulangan pelaburan lumayan itu.
Bagaimanapun, semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati pelaburan ini tidak pernah wujud dan didaftarkan.
“Berdasarkan risikan, kita berjaya memberkas seorang ejen pelaburan itu yang melakukan kerja-kerja pentadbiran di sebuah hotel bajet di Bukit Tinggi di sini.
“Hasil soal-siat kemudiannya membawa penahanan seorang lelaki digelar Datuk di Kampung Baru Subang yang dipercayai merupakan ketua sindiket pelaburan di Selangor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Shamsul Amar, dalang utama dikenali sebagai Adnan kemudiannya berjaya diberkas pada 8 Mei lalu di Tumpat, Kelantan.
Ujar beliau, turut dirampas bersama kesemua suspek adalah beg tangan, jam beserta komputer riba yang lengkap dengan dokumen mangsa dan telefon bimbit.
“Kita juga merampas tiga buah kenderaan mewah dibawah nama individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu iaitu Vellfire, BMW dan Toyota Hilux.
“Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Amar menegaskan pihaknya kini sedang mengesan empat saksi yang merupakan ejen pelaburan iaitu Kamisah Abd. Rahman, Roslan Razak, Roslan Mustafa dan seorang lagi dikenali sebagai Fera bagi membantu siasatan kes. -K! ONLINE











