KUANTAN – Golongan penjawat awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menghadapi masalah kewangan menjelang perayaan Aidilfitri dinasihatkan berwaspada terhadap tawaran pinjaman peribadi yang ditawarkan pihak tidak berlesen.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia kerana terdapat pihak pemberi pinjam yang mendakwa syarikat mereka merupakan ejen Angkasa dan boleh memberi kelulusan pinjaman secara mudah kepada penjawat awam serta GLC.
“Kita dapati, ada pemberi pinjam wang menampal iklan-iklan tawaran pinjaman yang mendakwa syarikat mereka daripada koperasi tertentu dan boleh menguruskan bayaran balik melalui potongan gaji.
“Taktik ini sering dilaporkan (kepada Angkasa) ketika setiap kali musim perayaan kerana mereka tahu, ramai penjawat awam yang memerlukan wang untuk menyambut perayaan,” katanya.
Abdul Fattah berkata demikian selepas majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada 40 anak yatim di Masjid al-Hidayah, Felda Sungai Panching Timur dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin. – K! ONLINE











