Muslim aid dan Coca-Cola jelajah 14 lokasi bantu golongan asnaf - Utusan Malaysia

Muslim aid dan Coca-Cola jelajah 14 lokasi bantu golongan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Mei – Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia akan menjelajah 14 lokasi di sembilan negeri bagi membantu golongan asnaf pada bulan Ramadan menerusi Program Fast2Feed.

Pengurus Besar Operasi dan Perkhidmatan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia Ruzida Ismail berkata kerjasama program ini merupakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meringankan bebanan golongan yang memerlukan.

“Melalui program ini, yayasan kami serta Coca-Cola Malaysia menyasarkan untuk membantu kira-kira 5,000 golongan yang memerlukan termasuk di Selangor, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Program Fast2Feed di sebuah pasar raya di Kubang Kerian semalam. Hadir sama Pengarah Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia Mohamed Kadri Mohamed Taib.

Pada program itu, seramai 150 pelajar golongan asnaf dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, SK Pantai Senak Bachok, SK Sabak, Madrasah Al Hikmah Kota Bharu dan Pusat Ilmu Muslim Aid Malaysia di Pasir Puteh menerima sumbangan wang tunai dan kelengkapan hari raya.

Ruzida berkata, hingga kini lapan dari 14 lokasi telah dijelajah bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Kelantan menjadi lokasi yang kelapan dan lokasi pertama bagi negeri di pantai timur yang diberikan sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Kadri berkata kerjasama Coca-Cola Malaysia dan Yayasan Muslim Aid Malaysia sejak 2010 bertujuan membantu golongan fakir dan asnaf terutama pada bulan Ramadan.

“Tahun ini Coca-Cola Malaysia memperuntukkan hampir RM120,000 bagi menjayakan program kebajikan membantu golongan kurang berkemampuan di 14 lokasi yang telah dipilih sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Seorang penerima, Nik Rafiq Mustaqim Nik Mustapha, 11, dari SK Kubang Kerian 3 bersyukur terpilih sebagai penerima bantuan hari ini.

“Ayah bekerja sebagai tukang sapu di sebuah masjid di sini dengan pendapatan yang tidak seberapa menyebabkan kami lima beradik amat bersyukur apabila ada pihak yang bermurah hati memberikan sumbangan untuk menyambut hari raya, “ katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×