JOHOR BAHRU 13 Mei – Seorang pemandu Proton Wira cedera parah di bahagian kepala selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter di Jalan Mersing – Endau dekat Mersing tengah malam tadi.
Dalam kejadian berhampiran Hutan Lipur Endau – Mersing itu, rakan mangsa dilaporkan hanya cedera ringan, kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Mersing.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penguasa Bomba Kanan II, Amer Hamzah Haris berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.08 tengah malam.
“Kita menerima laporan mengatakan sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter.
“Semasa pasukan bomba tiba di tempat kejadian, pemandu terkeluar separuh badan daripada tingkap pemandu dan cedera teruk di bahagian kepala dan rakannya pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi yang tamat pada 12.40 tengah malam itu melibatkan sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – UTUSAN ONLINE











