LEIPZIG – Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac percaya pasukannya mampu memastikan gelaran Bundesliga pada aksi terakhir musim ini selepas seri tanpa jaringan menentang RB Leipzig di Red Bull Arena awal pagi semalam.
Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunapakai pada saingan Bundesliga musim ini meragut peluang Bayern untuk meraikan gelaran liga lebih awal apabila pengadil perlawanan mendakwa Robert Lewandowski berada di kedudukan ofsaid sebelum Leon Goretzka melakukan jaringan pada minit ke-51.
Justeru, Kovac berharap skuad kendaliannya mampu menyelesaikan misi memburu gelaran liga musim ini apabila melayan kunjungan Eintracht Frankfurt pada aksi terakhir Bundesliga di Allianz Arena Sabtu depan.
“Kami berpeluang untuk muncul juara minggu depan sekiranya melakar kemenangan atau seri. Saya yakin, setiap takdir itu pasti ada cerita indah di sebaliknya, jadi saya mahu semua pemain melaksanakan tugas yang diberikan.
“Saya tahu Frankfurt ada sasaran untuk ke saingan Eropah. Jadi, bukan tugas mudah untuk kami di laman sendiri nanti,” kata Kovac.
Kovac juga menerima keputusan pengadil yang tidak mengesahkan jaringan Goretzka meskipun Presiden Bayern, Uli Hoeness menyifatkan tindakan tersebut sesuatu yang tidak masuk akal.
“Saya sentiasa katakan bahawa VAR ialah kawan saya. Saya akui ia sedikit ofsaid tetapi keputusan itu sepatutnya dibuat lebih awal, namun saya enggan mempertikaikan tindakan pengadil perlawanan,” ujarnya. – Agensi











