TITUSVILLE, Florida – Seorang wanita tergamam selepas menemui satu bangkai misteri yang masih berkulit di kawasan belakang rumahnya di sini pada Jumaat lalu, demikian menurut laporan akhbar Daily Mail.
Kelly Garrahan kemudiannya merakam gambar bangkai itu yang dianggarkan sepanjang kira-kira 30 sentimeter dan memuat naik ke Facebook. Dia turut meminta bantuan pengguna internet untuk mengenal pasti jenis makhluk itu.
“Saya jumpa bangkai ini di laman belakang rumah. Ada sesiapa pernah melihat benda seperti ini atau tahu apakah makhluk ini?” soal Garrahan dalam satu perkongsian di Facebook.
Makhluk misteri itu mempunyai muncung panjang sekali gus menyebabkan sebilangan pengguna internet membayangkan ia mungkin milik seekor aligator atau biawak. Beberapa lagi individu mengatakan ia bangkai seekor oposum.
Selain itu, ada beberapa netizen mendakwa ia peninggalan sejenis makhluk asing. – Agensi











