SAAT memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tentunya menggembirakan setiap murid di alam persekolahan, namun tidak bagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Walaupun berjaya mendapat keputusan 90 markah dan ke atas bagi kebanyakan mata pelajaran semasa berada di tahun enam, Sekolah Kebangsaan Inggeris Serkat, Pontian, beliau tetap dicubit oleh guru kelasnya, Zaleha Abdullah.
Hal demikian kerana Cikgu Zaleha yang mengajar subjek Bahasa Inggeris itu menganggap Salahuddin sebagai seorang pelajar yang cuai dan tidak fokus dalam pelajaran.
‘Penangan’ dicubit Cikgu Zaleha itu tidak berakhir di situ sahaja kerana menurut Salahuddin, sebaik sahaja tiba di rumah, beliau akan dimarahi pula oleh ibu bapanya.
“Bayangkan zaman itu saya bersekolah di kampung, tiada banyak akses kepada buku tambahan dan tuisyen tetapi berjaya mendapat markah hayang agak tinggi. Namun, masih dimarahi kerana dikatakan cuai. Balik rumah saya termenung dan menangis.
“Walau bagaimanapun, baharu sekarang saya sedar, cubitan Cikgu Zaleha itu yang banyak membantu membina personaliti dan mencabar saya menjadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Salahuddin yang belajar di Sekolah Kebangsaan Inggeris Serkat dari 1968 hingga 1973 berkata, beliau dikenali sebagai seorang murid yang pendiam dan tidak aktif dalam aktiviti di sekolah sehinggakan penyertaannya dalam arena politik amat mengejutkan guru dan rakannya.
“Saya boleh dikatakan sebagai budak yang baik atau holy boy sewaktu di bangku sekolah dahulu. Tak pernah masuk pertandingan bahas atau aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Saya bukanlah pelajar yang menonjol.
“Atas sebab itulah, apabila saya masuk politik, ramai guru dan rakan-rakan terkejut. Mereka kata saya sangat berlainan dengan zaman dulu. Mungkin ini semua ‘anugerah Tuhan’ yang dikurniakan kepada saya,” katanya.
Bagi menghargai jasa gurunya terutamanya Cikgu Zaleha, Salahuddin kerap menziarahi mereka sekiranya mempunyai masa lapang.
Selain Cikgu Zaleha, beliau turut mengingati guru lain yang banyak berjasa antaranya Cikgu Joseph Santiago, Cikgu Arumugam dan Cikgu Ahmad Ehsan yang mengajar semasa beliau berada di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian.
“Saya ada bertemu dengan Cikgu Zaleha di rumahnya di Kuala Lumpur. Dia menangis apabila kami bertemu. Saya tahu sebagai seorang guru, beliau ikhlas mengajar untuk pastikan setiap anak muridnya berjaya dalam kehidupan masing-masing. Semua itu amat bermakna kepada saya,” katanya.
Salahuddin juga sempat menitipkan nasihat dan pesanan kepada semua pelajar ketika ini supaya menghormati guru yang mengajar seumpama anak menghormati ibu bapanya.
“Pada saya selepas Allah dan ibu bapa, semua orang perlu menghormati guru anda. Restu guru juga penting. Ibu bapa doakan, guru juga akan mendoakan kita. Sikap hormat itu perlu ada dalam diri anda.
“Kadangkala cikgu kita ini ada satu hubungan cukup baik dengan kita. Apabila sudah lama tak jumpa dan kita datang ziarah, mereka akan berasa dihargai dan menangis. Apa yang kita lakukan terhadap ibu bapa sendiri, begitulah juga hormat pada guru-guru,” katanya.











