KUALA LUMPUR 12 Mei – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jambatan Lanang, Sibu, Sarawak, semalam.
Memetik laporan Utusan Borneo, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Pindy Asan, 36, dari Rumah Buah, Sungai Maong di Kanowit.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa yang juga anggota Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) dari arah Jalan Lanang menuju Machan, Kanowit telah hilang kawalan dan jatuh ke atas jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 11.42 malam,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











