KUALA LUMPUR 12 Mei – Sembilan lelaki termasuk seorang warga asing dicekup ketika leka menyabung ayam dalam Op Dadu di kawasan hutan berhampiran sebuah setinggan di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, operasi terbabit dijalankan sepasukan polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) pada pukul 4.45 petang.
“Ketika serbuan, kita dapati sembilan lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 27 dan 60 tahun sedang leka menyabung ayam.
“Turut dirampas ketika serbuan adalah tiga ekor ayam jantan mati, lima ekor ayam hantan hidup, wang tunai RM152, papan tulis dan alat penimbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zulkipli, kesemua suspek kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962. – UTUSAN ONLINE











