Tujuh warga Myanmar tiada dokumen dicekup kastam - Utusan Malaysia

Tujuh warga Myanmar tiada dokumen dicekup kastam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM 12 Mei – Keengganan seorang wanita warganegara Myanmar berhenti untuk pemeriksaan bagasi di laluan penumpang Terminal Feri Langkawi, dekat sini membongkar kegiatannya bersama enam lagi rakan yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, Khamis lalu, wanita berusia 20-an itu sedang berjalan seorang diri untuk menaiki feri ke Kuala Perlis sebelum diarahkan menjalani pemeriksaan bagasi oleh pegawai kastam di situ.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, suspek bagaimanapun terus meninggalkan tempat pemeriksaan itu dalam keadaan tergesa-gesa dan menuju ke laluan memasuki feri untuk berlepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pegawai kastam mengejar wanita itu sehingga ke feri sebelum pemeriksaan lanjut menemukan enam lagi warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 20-an ke 30-an yang turut tiada dokumen telah menaiki feri itu.

“Buat masa ini kita sedang menyiasat dari mana mereka memasuki negara ini, namun tidak menolak kemungkinan menggunakan jalan laut kerana terdapat bagasi dibawa mereka mempunyai kesan berlumpur,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Johari, pihaknya juga percaya kesemua mereka hanya menjadikan pulau peranginan itu sebagai destinasi transit sebelum bergerak ke tanah besar untuk tujuan lain.

“Kesemua suspek kini direman seminggu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana disyaki mengatur dan merancang kemasukan seseorang secara tidak sah,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Johari berkata, seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan kerana menyeludup minuman keras yang tidak berkastam menggunakan kereta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Rabu lalu.

Menurutnya, lelaki itu yang mengubah suai bahagian bumbung kenderaan jenis Suzuki ERV miliknya membawa masuk minuman keras berjenama Tiger Beer yang dianggarkan bernilai RM522 dengan nilai cukai sebanyak RM1,046.

“Lelaki itu memandu dari arah Thailand dan ditahan di lorong pemeriksaan kenderaan ringan Kompleks ICQS hasil risikan dan maklumat.

“Suspek kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” kata beliau lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini