KUALA LUMPUR 12 Mei – Dua unit mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rosak dalam kebakaran di sebuah bank di Jalan Sadong Jaya, Kota Kinabalu, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mesin ATM tersebut musnah 20 peratus akibat kebakaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.42 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dekat sini digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran membabitkan dua unit mesin ATM itu.
“Selain itu, pemeriksaan lanjut turut dilakukan di sekitar kawasan kebakaran bagi memastikan tiada sebarang bahaya dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 2.20 pagi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu.
“Siasatan masih dijalankan dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan dan tiada unsur jenayah berlaku,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











