KUALA LUMPUR 12 Mei – Sebuah video tular dalam laman sosial memaparkan seorang lelaki berada dalam keadaan terkejut selepas terjumpa sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan keretanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pemilik nombor pendaftaran itu turut membuat sebuah laporan polis berkenaan kes tersebut.
“Hasil maklumat pengadu, kita telah membuat pemerhatian kira-kira 30 minit di lokasi kejadian dan menahan seorang lelaki yang menggunakan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, nombor pendaftaran kenderaan itu adalah palsu dan didaftarkan atas kereta lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Ruslan, suspek yang berusia 30-an telah ditahan dan pihaknya turut merampas satu alat kawalan jauh kereta, dua keping nombor pendaftaran dan sekeping cukai jalan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











