MADRID 11 Mei – Kepulangan Roger Federer di kejohanan tenis gelanggang tanah liat pertamanya selepas tiga tahun menyepi berakhir dengan penyudah cerita yang kurang memberansangkan di sini.
Ini selepas pemain Switzerland berusia 37 tahun itu gagal melepasi peringkat suku akhir apabila ditunjukan jalan keluar oleh pemain Austria, Dominic Thiem yang menang 3-6, 7-6, 6-4 awal hari ini.
Thiem bagaimanapun terpaksa terlebih dahulu menyelamatkan dua mata penamat Federer di set kedua untuk mengheret lawan veterannya itu ke set tiga sebelum menang dengan bergaya.
Kekalahan mengejut Federer itu menyaksikan harapan peminat tenis di sini untuk menyaksikan dia bertemu Novak Djokovic di separuh akhir tidak kesampaian sebaliknya Thiem membuktikan dirinya lebih berhak.
“Saya tetap gembira walaupun kalah di kejohanan tanah liat pertama saya. Ia satu perlawanan yang bagus untuk saya di sini. Rasa semakin selesa dapat kembali beraksi di gelanggang seperti ini lagi,” kata Federer.
Satu lagi separuh akhir menyaksikan Raja Tanah Liat, Rafael Nadal akan bertemu pemain Greece, Stefanos Tsitsipas selepas masing-masing menang selesa di suku akhir hari ini.
Nadal menewaskan seorang lagi pemain Switzerland, Stan Wawrinka 6-1, 6-2 manakala Tsitsipas mengejutkan juara bertahan kejohanan ini, Alexander Zverev 7-5, 3-6, 6-2.
Paling selesa mara ke separuh akhir adalah Djokovic yang tidak perlu mengeluarkan peluh dan turun ke gelanggang selepas lawannya dari Croatia, Marin Cilic yang terpaksa menarik diri kerana mengalami keracunan makanan. – AFP











