KUALA LUMPUR 10 Mei – Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Ho Ying-Karen Lyne menjadi taruhan terbaik Malaysia meraih sebutir pingat dalam acara beregu wanita pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.
Naib Presiden Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM), Dr Chin Kuen Liang berkata, TTAM meletakan sasaran sederhana sebutir pingat gangsa menerusi beregu tersebut selepas mengambil kira prestasi semasa pemain negara.
Pencapaian di luar dugaan oleh beregu tersebut pada Sukan Komanwel itu membolehkan TTAM menaruh harapan tinggi terhadap mereka untuk menyumbang pingat di Sukan SEA, katanya.
Skuad pingpong negara meraih pingat acara beregu wanita yang pertama dalam sejarah Sukan Komanwel selepas gandingan itu menewaskan beregu India, Sutirtha Mukherjee-Pooja Sahasrabudhe 3-1 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
“Kalau boleh kita mahu menang lebih banyak pingat di Sukan SEA tetapi ini adalah sasaran realistik…lebih-lebih lagi tidak ada acara berpasukan dipertandingkan kali ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja TTAM dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Pada temasya Sukan SEA, TTAM akan menghantar empat pemain lelaki dan empat wanita dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.
Kueng Liang mengakui saingan pada temasya dwitahunan itu amat sengit dengan negara-negara peserta seperti Singapura menggunakan khidmat pemain naturalisasi dari China.
Beliau juga berkata, TTAM telah melantik ketua jurulatih baharu, Mu Tong dari China, bulan lalu bagi membantu meningkatkan kemahiran dan prestasi pemain negara.
Mu Tong merupakan bekas jurulatih untuk jaguh Jepun, Ai Fukuham yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London dan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.
“Beliau adalah seorang jurulatih yang luas berpengalaman. Beliau juga telah mengatur banyak pertandingan dan latihan di China untuk pemain kita,” katanya.
Selain itu, beliau juga bercadang membawa rakan sepelatih dari China dan Filipina serta mengatur kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Komanwel di India, Jun ini dan Kejohanan Asia di Bali, Indonesia, September ini, katanya.
Kueng Liang menjelaskan barisan skuad negara ke Sukan SEA akan dimuktamadkan menerusi pertandingan pemilihan, Jun ini.
Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, , skuad pingpong negara menyumbang dua pingat gangsa menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita manakala Singapura menggondol lima pingat emas manakala Thailand dan Vietnam, masing-masing membawa pulang satu pingat emas. – BERNAMA











