KUALA LUMPUR 10 Mei – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David memulakan saingan Terbuka Manchester di England hari ini dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua.
Juara dunia lapan kali itu mencatat kemenangan 11-5, 11-6, 11-8 dalam masa hanya 23 minit menewaskan pemain muda dari Amerika Syarikat, Haley Mendez dalam pusingan pertama di Pusat Skuasy Nasional, menurut laman web kejohanan – www.manchester.squashsite.com.
“Saya gembira dapat bermain dengan Haley di Manchester – saya kenal lama dengannya, sejak saya tinggal di rumahnya semasa kejohanan di Brooklyn Heights.
“Saya kenal dia sejak dia berumur 10 atau 11 tahun, jadi peluang untuk datang ke sini dan bermain dengan dia amat menyeronokkan, dia bermain dengan baik, saya terpaksa bekerja keras untuk menang,” kata Nicol.
“Saya ada banyak kenangan manis di Manchester, selepas bertanding dalam Sukan Komanwel di sini pada 2002, dan banyak lagi kejohanan lain, banyak kenangan manis,” kata pemain berumur 35 tahun dari Pulau Pinang itu yang memutuskan untuk bersara di penghujung musim ini.
Nicol akan bertemu dengan pemain pilihan ketiga, Sarah-Jane Perry dari England dalam pusingan kedua Jumaat. Sarah mendapat ‘bye’ di pusingan pertama. – BERNAMA











