KUALA LUMPUR 10 Mei- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat lima pegawai kanannya berkuat kuasa pada 10 Jun ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran didahului Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Peter Umbuas akan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Tawau dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintenden Sabarudin Rahmat akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Peter dengan memangku pangkat Superintenden.
“Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sabah, Deputi Superintenden Azhari Zakaria kini memangku pangkat Superintenden manakala Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abg Ahmad akan menjadi Ketua Polis Daerah Limbang serta dinaikkan pangkat kepada Superintenden.
“Pegawai Turus Gerakan Risik, Cawangan Gerakan dan Risik Briged Sabah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kinarut, Sabah, Deputi Superintenden Champin Piuh pula akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Sipitang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











