KUALA LUMPUR – Bekas pemain tengah Perlis, Mohd. Syukur Saidin sekali lagi pulang berbakti ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang selepas skuad Harimau Kumbang itu sah mengikat kontrak dengan pemain berkenaan semalam.
Syukur yang juga bekas pemain Sime Darby (2011-2014) dan Pulau Pinang (2015 hingga 2018) kini boleh menarik nafas lega selepas diberi kepercayaan oleh jurulatih Manzoor Azwira Abdul Wahid dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuk kembali beraksi di Stadium Bandaraya.
Tanpa berselindung, pemain berusia 28 tahun itu mengakui amat teruja dengan peluangnya kembali semula menabur bakti di kampung halaman selepas kecewa dengan janji-janji manis skuad Perlis yang dibubarkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Pertama sekali pastinya saya bersyukur selepas diberi kepercayaan oleh FAP dan jurulatih untuk kembali menyarung jersi Pulau Pinang.
“Pastinya peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan tersebut dan saya harap dapat menemui rentak bersama pasukan dalam masa yang singkat.
“Pada masa sama, saya rasa bukan sesuatu yang sukar untuk menyesuaikan diri dalam pasukan ini kerana sudah tahu cara permainan dan juga taktikal digunakan Manzoor kerana beliau juga pernah bersama semasa di Perlis dan Pulau Pinang sebelum ini.
“Jika diberikan peluang untuk berdepan Kelantan esok, pastinya saya akan melakukan yang terbaik bagi membalas semula kepercayaan jurulatih dan pihak pengurusan,” kata Syukur ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Sementara itu, FAP juga berjaya membawa masuk pemain import baharu dari Argentina, Sergio Aguero yang juga bekas pemain Melaka United untuk menggantikan Sebastien Thuriere yang ditamatkan kontraknya dan juga Wan Mohd. Syukri yang dipinjamkan daripada Melaka United.
Pasukan Harimau Kumbang yang kini berada pada kedudukan ke-11 Liga Premier bakal menyambut kunjungan skuad kendalian Yusri Che Lah bagi aksi pertama dalam bulan Ramadan di Stadium Bandaraya malam esok. – K! ONLINE











