PETALING JAYA 10 Mei – Pusat beli-belah, Sunway Pyramid meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang dengan tema ‘Bunga-Bunga Raya’ di Dataran Orange Concourse dekat sini bermula hari ini sehingga 9 Jun ini.
Sambutan yang mengetengahkan pelbagai jenis bunga itu sebagai simbolik kepada kebersamaan, perayaan, pengampunan, harapan, permulaan dan kemurnian.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema Sunway, HC Chan berkata, kesemua pusat beli-belah Sunway akan mengetengahkan konsep kreatif mereka tersendiri berdasarkan tema utama yang meraikan kecantikan bunga-bunga Malaysia termasuk bunga raya, bunga orkid, bunga kertas dan bunga melati.
“Di bawah tema utama ‘Bunga-Bunga Raya’, Sunway Pyramid telah memilih untuk mempamerkan bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang melambangkan perpaduan.
“Sebagaimana perbezaan saiz dan bentuk bunga raya mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, kami berharap perayaan Aidilfitri tahun ini akan terus mengukuhkan semangat kebersamaan bagi tahun-tahun yang akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tema itu di Sunway Pyramid Bandar Sunway dekat sini hari ini.
Pada majlis sama, Sunway Pyramid turut mengadakan pertandingan cabutan bertuah sebuah Vespa edisi terhad coretan artis bernama Fritilldea dengan kerjasama Naza Group yang bakal diumumkan 9 Jun depan.
“Pembeli-belah perlu menyelesaikan tiga aktiviti yang terdapat di dataran ini, imbas kod QR bagi memenangi cabutan bertuah berkenaan.
“Antara aktiviti yang disediakan adalah menangkap dan berkongsi gambar kreatif di Buaian Bunga-Bunga menerusi laman sosial, melengkapkan empat aksi di Kawasan Permainan Hopscotch serta mencuba Laluan Flora Mejar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











