KOTA BHARU – Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah mahu pasukannya menang pada aksi Liga Perdana bertemu Pulau Pinag di Stadium Bandaraya, malam esok.
Yusri berkata, hanya kemenangan sahaja mampu menyelamatkan mereka daripada terus menghuni zon penyingkiran ke Liga M3.
“Kita tidak boleh terus keciciran mata. Hal ini kerana jurang mata dengan pasukan seperti Sarawak, UKMFC dan Pulau Pinang terlalu hampir.
“Mahu atau tidak kita perlu menang walaupun hadir ke sana (Pulau Pinang) dalam serba kekurangan,” katanya.
Yusri memberitahu, serba kekurangan yang dimaksudkan itu adalah tanpa kehadiran pemain import.
Katanya, walau bagaimanapun, itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak memperagakan aksi terbaik pada perlawanan tersebut nanti.
“Saya akui Pulau Pinang ada kelebihan terutama pemain import, namun kita tidak akan memberikan laluan mudah.
“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada pemain dan mereka sudah bersedia untuk mengharungi cabaran itu,” ujarnya. – K! ONLINE











