KUALA LUMPUR 10 Mei – Akta Hasutan yang selama ini menjaga keharmonian masyarakat dikhuatiri akan menimbulkan konflik antara kaum sekiranya dimansuhkan.
Ditambah pula dengan penggunaan teknologi maklumat dan media sosial yang meluas kini, isu berkaitan perkauman serta agama akan timbul dengan pantas sekali gus boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.
Menurut Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, akta tersebut merupakan benteng bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat daripada ancaman yang mampu mengancam keselamatan negara.
Katanya, Akta Hasutan ini bukanlah undang-undang bagi mempertahankan kaum atau agama tertentu.
“Kita adalah satu negara yang unik kerana berbilang kaum. Jadi kita perlu menjaga keharmonian dengan undang-undang untuk menyekat sesiapa pun daripada membuat sesuatu yang boleh mengakibatkan keamanan dan keselamatan tergugat.
“Suasana negara dan keselamatannya hari ini seperti telur di hujung tanduk atau api dalam sekam lebih-lebih lagi di zaman ledakan media sosial dan teknologi maklumat yang meluas kini. Pelbagai isu timbul hingga mengakibatkan ketegangan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang menegaskan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Nasrul Ali turut menggesa supaya para pemimipn negara tidak terpengaruh dengan cara atau budaya luar dalam menegakkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
“Walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi, pemimpin-pemimpin tidak seharusnya terlalu berlembut hingga terikut-ikut dengan demokrasi barat mengenai hak asasi dan hak bersuara.
“Mereka yang terlibat dengan melaga-lagakan antara kaum, mengapi-apikan masyarakat, mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan kemudian meminta maaf dan menarik balik kenyataan tetap perlu diambil tindakan tegas,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











