KPDNHEP Johor periksa 816 gerai bazar ramadan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Johor periksa 816 gerai bazar ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri telah memeriksa sebanyak 816 gerai di bazar ramadan di negeri ini sejak 7 Mei lalu.

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, dalam tempoh pemeriksaan dijalankan di premis di bazar itu sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan dikenakan kepada mana-mana peniaga.

Menurutnya, sehingga hari ini juga, pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai kenaikan harga barang yang mendadak di bazar ramadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan kekuatan anggota penguat kuasa seramai 200 orang, pihak kami sudah menjalankan pemeriksaan di 816 gerai di bazar di negeri ini dalam usaha mencegah kenaikan harga barang berlebihan.

“Sejak pemeriksaan dijalankan, tiada sebarang tindakan dikenakan kepada mana-mana peniaga cuma kita ada keluarkan notis amaran kepada dua peniaga hari ini,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di bazar ramadan di Plaza Angsana di sini hari ini.

Tambahnya, dua notis amaran itu dikeluarkan kepada peniaga di bazar ramadan di Plaza Angsana selepas gagal meletakkan tanda harga barangan yang dijual.

Mohd. Hairul Anuar berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan pemeriksaan ke bazar-bazar ramadan bagi memastikan tiada peniaga yang menjual barangan mereka pada harga berlebihan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya turut memberi nasihat kepada para peniaga. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini