Timah reda nasib keluarga - Utusan Malaysia

Timah reda nasib keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA salam disambut mesra, Timah Hassan, 70, menyelak daun pintu rumahnya bagi menyambut kehadiran wartawan dan jurufoto. Dengan rasa rendah diri, ibu tua ini menjemput kami masuk ke dalam rumahnya.

Berkali-kali Timah meminta maaf kepada kami bahawa rumahnya tiada apa-apa.

TIMAH HASSAN
TIMAH HASSAN 

“Maaf ya nak, rumah mak cik kosong, tiada apa-apa. Beginilah keadaan rumah mak cik,” katanya kepada S2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebuah rumah di Flat Desa Pandan, Kuala Lumpur menjadi tempat berteduh buat Timah bersama suami, anak, cucu dan cicit. Walaupun keadaan rumah itu serba-serbi kekurangan dan daif, namun itulah sahaja rumah yang mampu didiami bersama keluarga yang besar jumlahnya.

Di ruang tamu, hanya terdapat sebuah sofa lama dan meja makan bagi keluarga besar itu berkumpul.

Setiap tetamu yang datang pasti perasan keadaan pintu tandas yang rosak dan tidak diganti.

Dalam keadaan serba kekurangan, keluarga ini tetap bahagia dapat berkumpul bersama walaupun menginap dalam ruang rumah yang sempit.

“Mak cik kini hanya bergantung kepada pendapatan daripada anak ketiga yang bekerja di sebuah restoran makanan segera selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menarik semula bantuan sebanyak RM450 sejak tiga bulan lalu,” katanya hiba.

Pada usia emas, Timah perlu melawan rasa sakit dan penat dengan mengambil upah menjahit bantal kekabu dan menjual kuih bagi menampung keperluan hidupnya dan keluarga yang memerlukan perbelanjaan besar terutama kos perubatan.

Perbelanjaan perubatan diperlukan setiap bulan kerana suami, Mohd. Noor Abdul Samad, 80, kini menderita sakit tua dan darah tinggi selain tidak lagi mampu bergerak. Anak keempatnya, Mohd. Dahrul Isan, 34, pula menghidap penyakit saraf dan bengkak usus manakala anak bongsunya, Suriati, 31, mengalami Sindrom Down dan lelah. Ketiga-tiga insan tersayang itu memerlukan kos perubatan yang tinggi setiap bulan.

Begitupun, ibu kepada lima cahaya mata ini tidak merungut, malah menerima takdir Allah dengan hati terbuka walaupun berhadapan ujian hidup yang berat.

Katanya, sebelum ini dia bekerja secara sambilan dengan bayaran gaji RM450 sebulan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa di Taman Maluri, Cheras iaitu tempat anak bongsunya belajar, namun berhenti sejak enam tahun lalu.

Sejak itu, dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa perlu mencari wang tambahan dengan melakukan pelbagai pekerjaan walaupun usia semakin meniti senja demi menampung keperluan hidup.

Sebelum ini, pendapatan Timah yang tidak seberapa itu dibantu oleh anak keduanya yang bekerja sebagai pemandu bas pelancong. Namun, takdir Allah tidak menyebelahinya apabila anaknya itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Timah yang baharu sahaja menjalani pembedahan membuang selaput mata turut menghidap penyakit kencing manis yang memerlukan dia menyuntik insulin sebanyak tiga kali sehari.

“Dalam kepayahan ini mak cik tetap bersyukur. Anak ketiga mak cik turut membantu menjual kuih dan biskut kepada rakan kerjanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai insan biasa, sesekali Timah mengeluh.

“Beginilah kehidupan kami, tiada siapa peduli. Dahulu bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani banyak membantu menghulurkan bantuan termasuk menyumbangkan ketuhar pembakar sementara Baitulmal memberi mesin jahit bagi membolehkan mak cik menjahit bantal kekabu sekali gus menambah pendapatan.

“Kini semuanya berbeza. Sejak setahun lalu mak cik dapati nasib keluarga kami seperti tidak dipedulikan,” katanya yang memberitahu pendapatan hasil menjahit bantal kekabu dan menjual kuih tidak menentu, bergantung kepada permintaan.

Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik apabila Baitulmal terus menghulurkan sumbangan sebanyak RM450 setiap bulan.

Bantu ayah terlantar

SESEKALI nada suara Timah berubah menjadi sebak mengenangkan anak keempatnya, Mohd. Dahrul Isan yang menghidap penyakit saraf dan bengkak usus sejak kecil terpaksa menjaga suaminya yang terlantar ekoran sakit tua, darah tinggi dan strok sebelah tangan.

Mohd. Dahrul Isan perlu bergantung kepada dua tiub yang bersambung dari kepala ke pundi kencing seumur hidup.

Ketika berusia 18 tahun, dia menjalani pembedahan ekoran air di dalam kepala tersumbat dan melimpah ke sebelah kiri otak menjadikannya tidak seimbang.

Dalam pada itu, dia turut mengalami masalah usus yang menyebabkannya kerap mengalami pendarahan ketika membuang air besar selain perlu makan ubat untuk menambah dan mencairkan darah.

Walaupun Mohd. Dahrul Isan kerap sakit, namun itu bukan alasan untuknya melepaskan tanggungjawab untuk menjaga ayahnya. Dia memikul tanggungjawab tersebut selepas abangnya meninggal dunia.

“Mohd. Dahrul Isan yang mandikan ayahnya, menyalin pakaian, membawa ke bilik air dan menyuapkan makanan.

Alhamdulillah walaupun keadaan anak tidak sempurna, namun masih ada sisa kudrat untuk dia berbakti kepada ayah dan keluarga,” ujar Timah.

Sementara itu, Mohd. Dahrul Isan berkongsi keadaan dirinya yang kerap berasa pening akibat sakit yang ditanggungnya.

Dia sebelum ini telah menjalani dua pembedahan akibat apendiks.

“Saya perlu kuatkan semangat kerana keluarga memerlukan saya. Saya tidak sampai hati membiarkan emak melakukan segala kerja bersendirian.

“Menjaga ayah amat mudah kerana ayah tidak cerewet dalam soal makanan atau pakaian. Apa yang diberi pasti dimakan,” katanya.

Katanya, keadaan ayahnya semakin teruk selepas diserang strok pada tahun 2000 menyebabkan kehilangan keupayaan untuk menggunakan tangan kanan.

Mohd. Dahrul Isan yang sebelum ini membantu arwah abangnya yang memandu bas pelancong bagaimanapun kini hanya sekadar membantu ibunya membuat bantal kekabu dan kuih muih untuk dijual.

Ekoran penyakit saraf yang dialaminya, Mohd. Dahrul Isan layak menerima kad orang kurang upaya (OKU) yang memberi ruang dan peluang kepadanya menikmati pelbagai kemudahan.

Ambil upah kupas bawang

MEMPUNYAI seorang anak Sindrom Down membuatkan Timah memberi lebih perhatian kepada keperluan Suriati sejak anak gadis itu dilahirkan.

Menurut Timah, Suriati disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sebaik sahaja dilahirkan, namun selepas menjalani rawatan, masalah jantungnya sembuh sepenuhnya.

Ketika itu, Timah dan suami berasa lega kerana anak istimewanya itu dapat menikmati kehidupan tanpa sebarang penyakit.

Namun, rasa lega itu sekadar bertaut sebentar sahaja apabila Suriati disahkan pula menghidap lelah dan gout.

“Suriati kerap lelah dan apabila penyakit asma menyerang, dia perlu dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Di rumah, kami telah sedia bekalkan alat sedutan atau inhaler.

“Nasib baik klinik terletak berdekatan kawasan perumahan. Jika tidak, agak sukar untuk membawanya ke klinik kerana tidak memiliki kenderaan,” tambah Timah.

Walaupun Suriati memerlukan perhatian yang lebih, namun anak istimewa itu pandai membawa diri dan berdikari terutama dalam menguruskan diri sendiri.

“Suriati boleh memasak tetapi yang mudah seperti goreng telur, goreng ayam dan ikan. Suriati juga pernah mengambil kursus Penyedia Makanan di Akademik Kulinari Kagumas pada 2011 hingga 2012.

“Jika ada masa lapang dan keadaan dirinya sihat, dia akan membantu mengupas kulit bawang di sebuah restoran berdekatan. Dapatlah juga wang sampingan untuk membeli keperluannya,” ujar Timah.

Sambil merapikan rambut Suriati, Timah memberitahu, pada masa ini anak bongsunya itu menerima pendidikan di PDK Titiwangsa dan Persatuan Sindrom Down di Jalan Ampang.

“Disebabkan tiada kenderaan, setiap hari mak cik akan berulang alik ke sekolah menaiki teksi atau bas,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu pasangan ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat milik Timah Hassan di nombor 22-051-537905-2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini