15 cawangan baharu ASQ dibuka menjelang 2024 - Utusan Malaysia

15 cawangan baharu ASQ dibuka menjelang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) yang merupakan pemegang master francais bagi jenama Abdul Samad Al Qurashi (ASQ), bakal memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM10 juta untuk pembukaan 15 buah cawangan baharu ASQ menjelang tahun 2024.

ASQ merupakan pengeluar wangian oriental berasaskan bahan semulajadi yang berpangkalan di Arab Saudi.

PNS diberikan hak eksklusif untuk tempoh 10 tahun dalam mengembangkan perniagaan francais bagi jenama ASQ tersebut di Malaysia, Brunei, Si­nga­pura dan Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang berkata, unjuran bagi 15 buah ca­wa­ngan baharu itu akan dibuka di empat buah negara berkenaan dengan memberi tumpuan terhadap pasaran di Malaysia ketika ini.

“Kami menyasarkan untuk membuka dua buah cawangan baharu ASQ di Malaysia tahun hadapan dengan mencari lokasi strategik di pusat beli-belah bagi memudahkan capaian pelanggan.

“Selain itu, syarikat akan membuka sebuah cawangan di sebuah pusat beli-belah baharu di Pantai Timur selepas melihat potensi yang ada di sana kerana terdapat ramai komuniti Melayu yang biasa dengan wangian seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demi­kian kepada Kosmo! ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini ­baru-baru ini.

Wangian ASQ ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu minyak, semburan dan bakhor (berbentuk serpihan kayu) yang berasaskan daripada sumber gaharu dan bunga-­bungaan.

Menurut Fauzi, untuk pasaran luar negara, PNS mengambil langkah be­kerjasama dengan rakan strategik bagi melancarkan operasi perniagaan di sana. Selepas Malaysia, kami berhasrat mengambil peluang yang ada bagi memperluas ASQ di Brunei.

“Justeru itu, kami me­nyasarkan pembukaan cawangan pertama di Brunei pada tahun hadapan dan bakal meneliti lokasi strategik bagi membantu memperkenal jenama ini dengan lebih mudah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini