Buruk, baik cermin gelap - Utusan Malaysia

Buruk, baik cermin gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT
kekhilafan dalam laporan Utusan Malaysia apabila memetik kenyataan saya kelmarin (8 Mei) mengenai kebenaran penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had di cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Saya menjelaskan, sesetengah pihak mungkin menyokong keputusan itu kerana percaya ia mampu melindungi penumpang daripada terik cahaya matahari di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia selain mengurangkan kejadian pecah kereta apabila pencuri tidak lagi dapat mengintai barangan yang berada di dalam kenderaan.

Pihak lain menentang keputusan tersebut atas beberapa faktor termasuk kemungkinan penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka juga berpendapat, cermin yang terlalu gelap boleh menghalang pandangan pemandu dan menyebabkan kemalangan jalan raya.

Saya berpendapat, keputusan tersebut mempunyai kebaikan dan keburukan tertentu dan orang ramai berhak mengeluarkan pandangan masing-masing untuk dipertimbang pihak berkuasa.

Saya percaya pihak berkuasa terbabit telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai penggunaan cermin gelap tersebut termasuk dari sudut keselamatan, kesihatan dan jenayah.

Oleh itu, mereka perlu berkongsi maklumat mengenai hasil kajian yang dibuat di dalam dan luar negara selain menunjukkan statistik yang membuktikan kadar jenayah dan kemalangan tiada kaitan dengan penggunaan cermin gelap.

Langkah ini penting bagi mengatasi kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah dan kemalangan akibat penggunaan cermin gelap .

Pada masa sama, semua agensi penguatkuasaan perlu duduk semeja dan berbincang mengenai perkara ini dan mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah ekoran pengenalan had cermin gelap baharu yang telah diluluskan kerajaan.

TAN SRI LEE LAM THYE

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya & Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini