JAKARTA 9 Mei – Pasukan Tentera Udara Indonesia (TNI-AU) bakal menggunakan jet pejuang bagi mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur sepanjang bulan Ramadan ini dalam meneruskan tradisi tahunan itu.
Jakarta Post melaporkan, menerusi akaun Twitter, pasukan tersebut menyatakan penerbangan jet pejuang itu dijalankan di beberapa bandar di Pulau Jawa termasuk Surabaya di Jawa Timur; Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah dan Yogyakarta.
Kenyataan di Twitter yang dimuat naik memaklumkan: “Insya-Allah, kami akan meneruskan tradisi mengejutkan orang ramai supaya bangun bersahur dengan menggunakan jet pejuang.”
Jurucakap TNI-AU, Kolonel Sus M. Yuris berkata, misi tersebut bukan sahaja untuk mengekalkan tradisi, tetapi memastikan anggota tentera berlatih sepanjang Ramadan.
Jelasnya, waktu Subuh merupakan masa terbaik untuk juruterbang menerbangkan jet pejuang, selain pakar perubatan turut menasihatkan supaya latihan tidak dilakukan melebihi pukul 10 pagi kerana paras gula dalam darah anggota yang berpuasa semakin menurun.
“Juruterbang jet pejuang tidak dibenarkan untuk terbang sekiranya mereka menghadapi masalah paras gula rendah dalam darah.
“Langkah tersebut dilihat sebagai ‘misi gabungan’ iaitu mengejutkan orang bersahur dan pada masa yang sama latihan untuk para anggota TNI-AU,” katanya.
Latihan penerbangan yang menggunakan jet pejuang F-16 dan T50i tersebut akan mencetuskan bunyi bising, sekali gus boleh ‘mengejutkan’ penduduk supaya bangun bersahur.











